kaki stalk :)

Wednesday, November 4, 2009

Andai Dia Pergi Sebelummu

Andai dia pergi dulu sebelummu, sapulah airmata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun bersederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya.. kau telah pergi, pergi bersama doaku. Kau tunggu di sana, pasti aku menyusul nanti.


Andai dia pergi dulu sebelummu, tanyakan pada dirimu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak – anakmu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak – anakmu punya masa depan. Di tanganmu segala cita – cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini jadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?


Andai dia pergi dulu sebelummu, katakan pada diri, akanku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak – anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala... yang mengalir selamanya.


Andai dia pergi dulu sebelummu, walaupun dia tidak akan kembali, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah apabila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Illahi- tradisi hidup Ummahatul Mukminin yang ditinggalkan suami!


Andai dia pergi dulu sebelummu, sibuklah dirimu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hatimu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Apabila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduklah dan bacalah al-Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu adalah kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW apabila terasa gundah... diadukan kesedihan kepada Allah


Andai dia pergi dulu sebelummu, bisikan ke dalam hatimu yang paling dalam. Dia bukan milikku. Dan aku bukan miliknya. Pemilik segala ialah al-Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala – galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Apabila terasa sepi, jangan katakan aku sepi... tapi katakan padaku sentiasa ada pemerhati.


No comments: